Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam, Dialah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam semoga sentiasa dicurahkan ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW. Secara tuntasnya, Masjid Bandar Utama bukan sahaja dilihat sebagai tempat beribadat dan membaca Al-Quran tetapi sebagai pusat kegiatan masyarakat dalam aspek pendidikan, kemasyarakatan, kebajikan serta untuk kepentingan dan pertemuan bagi orang Islam. Masjid ini juga berperanan sebagai sumber pertumbuhan tunas-tunas Islam selanjutnya memantapkan lagi fungsi tradisi masjid sebagai pusat dakwah, pembangunan ilmu dan sains Islam. Namun, bagaimanakah fungsi masjid ini dapat digarapkan secara sempurna agar seluruh generasi muslim mendapat kemanfaatannya. Sirah nabi Muhammad S.A.W. jelas menunjukkan bahawa masjid berperanan membina dan memacu pembangunan ketakwaan umat Islam. Masjid juga sebagai lambang keutuhan dan kekuatan umat Islam. Masjid merupakan rumah ibadah bagi umat Islam dalam mengerjakan solat dan majlis keagamaan serta pusat aktiviti sosial umat Islam. Mengimarahkan masjid pula adalah tugas yang berkait rapat dengan konsep kejadian manusia untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Justeru itu, setiap individu Muslim seharusnya menunjukkan iltizam supaya memastikan pengurusan masjid berfungsi sebagai pusat ibadah dan pembangunan ummah. Fokus utama Bahagian Pengurusan Masjid Bandar Utama adalah untuk menjadikan masjid zon aman untuk beribadah dan mengadakan aktiviti membangun ummah.Ia juga untuk memastikan masjid-masjid dan surau-surau berada dalam keadaan baik dan selesa untuk umat Islam beribadat dan mengadakan program-program pengimarahan serta menyiapkan sepenuhnya struktur Kompleks Masjid.